Kangar: Lelaki memakai gelang merah jambu atau ‘wristband’ yang dilihat sedang menunggu feri di Terminal Feri Kuala Perlis petang semalam disahkan mempunyai surat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani proses kuarantin di rumahnya di Langkawi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian itu berlaku pada 3 petang semalam.
Wari berkata, pihaknya melakukan soal siasat ke atas lelaki yang dipercayai berusia belasan tahun itu selepas beberapa pengunjung melaporkan kehadirannya kepada pihak berkuasa.
“Selepas disoal siasat, dia mengaku dari Alor Setar dan sedang dalam perjalanan ke rumahnya di Langkawi.
“Memandangkan dia dari Alor Setar, dia diarahkan memakai ‘wristband’ selain pihak KKM memberinya surat kebenaran untuk melakukan kuarantin di rumahnya,” katanya.
Wari berkata, individu terbabit dibenarkan menaiki feri mengikut jadual dan mengarahkan dia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang menjalani tempoh kuarantin.
Katanya, pihaknya berharap agar orang awam tidak menularkan berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan kegusaran masyarakat setempat.
Terdahulu tular di media sosial mengenai seorang lelaki memakai ‘wristband’ berada di ruangan menunggu di Terminal Feri Kuala Perlis sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Berikut reaksi dari netizan
PKPD: 10 kampung dilanda banjir kilat
Alor Setar: Dugaan berganda buat penduduk 10 kampung di daerah Kota Setar yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran apabila rumah mereka dinaiki air, petang tadi.
Hujan lebat yang melanda daerah itu sejak jam 5 petang tadi menyebabkan kawasan perkampungan itu mengalami banjir kilat.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan (PA) Muhammad Hilmi Yaakob berkata, banjir kilat itu melanda tiga mukim di daerah Kota Setar iaitu Mukim Titi Gajah, Bukit Pinang dan Anak Bukit.
Menurutnya, hasil pemantauan dilakukan anggota APM Kota Setar mendapati paras air meningkat dari sungai berhampiran berikutan hujan lebat.
“Antara kampung terbabit adalah Kampung Bohor, Kampung Alor Perang, Kampung Alor Senjaya, Kampung Teluk dan Kampung Seberang Anak.
“Selain itu, Kampung Seri Pasir, Kampung Lapangan Terbang, Kampung Bukit Pinang, Kampung Alor Ganu dan Seberang Cheger turut dinaiki air,” katanya ketika dihubungi hari ini.